Sepanjang saya menganalisa kes berkaitan dengan rumah, sebenarnya hampir 90% orang telah salah membeli rumah. Nombor ini memang sangat mengejutkan dan menakutkan. Saya dapati hutang rumah selalunya melebihi 50% daripada aliran tunai individu.
Ya, memang benar ia merupakan duit anda dan terpulang kepada anda untuk beli rumah dan berapa harganya. Sudah pasti duit yang digunakan untuk membeli rumah tersebut merupakan hasil titik peluh masing-masing.
Namun, kita haruslah mempertimbangkan bahawa gaji tersebut bukan 100% buat keperluan sendiri sahaja. Jangan lupa dalam pada gaji yang kita perolehi setiap hujung bulan, ada juga bahagian orang lain di situ contohnya:
- Isteri
- Anak
- Zakat
Tiga entiti utama ini harus menjadi keutamaan juga. Oleh itu, sebelum tersalah beli rumah, saya akan kongsikan serta memberikan saranan rumah yang sesuai berdasarkan kemampuan gaji masing-masing. Semoga artikel ini bakal dapat menjawab soalan bagaimana nak beli rumah yang sesuai dengan gaji.
Cara Beli Rumah
Pertama, sekiranya gaji anda adalah sebanyak RM 10,000, gaji ini tergolong dalam taraf sosial M4. M4 ini masih lagi tergolong dalam M40. Lihat di bawah untuk status sosial di Malaysia. Dengan gaji RM 10,000 sekalipun, jika duduk di KL dengan kos sara hidup yang tinggi akhirnya ia menjadi cukup-cukup makan sahaja.
Kedua, terdapat tiga kaedah yang boleh digunakan untuk membeli rumah di Malaysia. Teruskan bacaan korang ke perenggan yang seterusnya.
Kaedah Pertama: Median Multiple
Di mana, 3 kali ganda pendapatan tahunan isi rumah. Contohnya:
RM 20,000 (suami & isteri) x 3 x 12 (setahun) = RM 720,000
Sekiranya ingin membeli rumah, ini merupakan harga tertinggi yang boleh dibeli. Ansuran rumah setiap bulan hanyalah sebanyak RM 3,000 dengan pinjaman selama 30 tahun dengan kadar keuntungan 4.3%. Ini adalah pengiraan sekiranya pendahuluan yang dibayar adalah sebanyak 10% iaitu RM 72,000.
RM 3,000 ini hanyalah mewakili 15% sahaja daripada pendapatan isi rumah. Atau pun 7.5% daripada suami dan isteri sekiranya bercadang untuk membayar 50/50.
Kaedah Kedua: Housing Cost Burden
Ini merupakan kaedah di mana pembayaran 30% daripada pendapatan isi rumah. Sebagai contoh:
RM 20,000 x 30% = RM 6,000
Ini bermaksud, rumah ini dibayar sebanyak RM 6,000 dengan ansuran setiap bulan. Ia merupakan dua kali ganda daripada median multiple.Jadi, harga rumah adalah RM 1,200,000. Ini merupakan harga maksima yang boleh dibeli.
Kaedah Ketiga: Residual Income
Kaedah ini merupakan penggunaan baki kewangan selepas menolak perbelanjaan isi rumah. Kaedah ini sangat tidak digalakkan kerana tiada perancangan kewangan yang betul.
Kenapa Masih Ramai Tidak Mampu Membeli Rumah?
Sebenarnya, pemilikan rumah di Malaysia sudah menjadi structural issue. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada isu ini. Antaranya adalah:
- Gaji Kecil
Seharusnya, pada tahun 2024, gaji seorang Jurutera sudah pun mencapai RM 6,500. Namun gaji ini jauh panggang dari api.
- Kadar Kenaikan Gaji Yang Rendah
Peratusan kenaikan gaji kita hanyalah 2% setahun sahaja. Lebih rendah dari peratusan CPI mahupun inflasi bagi sebiji murtabak!
- Perkongsian Pendapatan di Antara Majikan & Pekerja Yang Rendah
Masalah gaji ini dapat dijejaki daripada perkongsian pendapatan yang tidak adil yang bermula dari pihak majikan iaitu hanya pada kadar 37% sahaja. Ini bermakna pihak majikan mengambil sebahagian besar daripada pendapatan yang dijana oleh syarikat dan hanya sebahagian kecil dikongsikan bersama pekerja.
Kesimpulan
Selepas membaca rencana ini, semoga korang mempunyai idea bagaimana untuk membeli rumah yang sesuai dengan gaji. Jika korang merasakan masih memerlukan nasihat daripada seorang Perancang Kewangan Berlesen, jangan segan untuk bertanya kepada saya.